skip to Main Content
Pilih Warna

A A A

 

PDKNet bermaksud Pemulihan Dalam Komuniti Network. Ia merupakan satu program ICT dan multimedia yang mengandungi portal dan koswer yang dibangunkan untuk pembangunan OKU di PDK.

Tujuan PDKNet ialah untuk membantu pelatih OKU di PDK menjalani proses pembelajaran, pemulihan dan berkomunikasi interaktif menggunakan kemudahan teknologi maklumat secara berkesan.

a. Membolehkan OKU menggunakan komputer.
b. Membolehkan OKU mendapat akses kepada perkhidmatan ICT.
c. Menggalakkan penyertaan penuh OKU, ibubapa dan komuniti untuk membantu proses pembelajaran dan pemulihan OKU melalui ICT.
d. Menggalakkan penggunaan kaedah dan teknik pemulihan yang berkesan dan bersesuaian dengan masyarakat setempat.
e. Menggalakkan sikap prihatin dan rasa tanggungjawab masyarakat dalam melaksanakan program pemulihan OKU melalui penggunaan PDKnet.

a. 3 M (Membaca, Menulis dan Mengira)
b. Perkembangan Sosial OKU
c. Perkembangan Bahasa
d. Pengurusan Diri / Pemulihan
e. Permainan, Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan
f.  Ruang Interaktif OKU, Ibubapa dan Komuniti dengan PDK
g. Perkongsian maklumat antara PDK

Faedah PDK kepada OKU adalah :-

i.     Program latihan dan pemulihan yang bersesuaian mengikut keperluan dan jenis kecacatan.

ii.    Tidak diasingkan dari keluarga, rakan dan masyarakat di mana ia dibesarkan.

iii.   Memupuk sikap lebih berdikari di kalangan OKU.

iv.   Hubungan dan sokongan antara OKU dan keluarga dapat dipupuk dan diperkukuhkan.

a. Melalui ruang interaktif PDKNet, keluarga dan masyarakat mampu memperolehi maklumat bagaimana insiden kecacatan OKU dapat dikurangkan atau kecacatan OKU lebih teruk dapat dicegah melalui intervensi awal.

b. Meningkatkan kesedaran di kalangan ahli keluarga OKU akan potensi anak mereka untuk membangun dengan latihan dan bimbingan melalui pengunaan PDKNet.

c. PDKNet berupaya meningkatkan keyakinan komuniti terhadap keupayaan OKU tentang kemahiran, kemampuan, dan kebolehan mereka untuk akses kepada ICT dan  yang ada dan menjadikan masyarakat lebih matang dan penyayang.

PDKNet merupakan aktiviti pembelajaran dan pemulihan OKU yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sejak itu kajian dibuat keatas beberapa buah PDK di negeri Melaka sejak tahun 2000. Satu kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) melalui Demonstrator Application Grant Scheme (DAGS) dan  Intergrated Commerce Sdn Bhd (rakan teknologi) telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan PDKNet ini.

Pada permulaannya PDKNet dilaksanakan di empat (4) buah PDK di negeri Melaka sebagai projek perintis pada tahun 2003-2004. Ekoran kejayaan tersebut, projek ini telah diperluaskan kepada semua 17 buah PDK di negeri Melaka dengan kerjasama pembiayaan sebanyak RM2juta dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) di bawah RMK9. Projek peluasan ini (Roll Out) dilaksanakan pada 2007 oleh KPWKM (Bahagian Teknologi Maklumat), JKM dan rakan teknologi Intergrated Commerce Sdn. Bhd. Projek PDKNet di semua PDK di negeri Melaka dan siap sepenuhnya pada 2010.

Projek PDKNet juga merupakan komitmen Kerajaan yang telah dipersetujui oleh Malaysia terhadap : The Biwako Mollennium Framework For Action (BMF) ; Towards Barrier Free, Inclusive and Right Based Society for PWDs (2003-2012).

Pelancaran PDKnet telah dilakukan di PDK Seri Pengasih, Kompleks Penyayang Alor Gajah, Melaka pada 4 Jun 2011.

Di bawah perkara 28 dan 30 menurut Akta OKU 2008, jelas menyatakan tentang hak aksessibiliti OKU kepada pendidikan, pemulihan dan juga aksessibiliti kepada teknologi maklumat adalah menjadi peranan dan tanggungjawab Kerajaan.

Kementerian mempunyai perancangan untuk peluasan PDKnet ini secara   berperingkat ke semua PDK di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Sebagai permulaan dibawah RMK10, pihak Kerajaan akan memperluaskan  program PDKnet ini ke negeri Pahang, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.6juta mulai awal tahun 2012

PDKNet

Back To Top